CLICK LIKE !! - INFORMASI ADMIN

KLIK & LIKE

:: Tips & Tanya Pakar Motor

HILANG KUASA PECUTAN

Masalah Anda :

SAYA mempunyai motosikal terpakai Yamaha TZM keluaran 1996. Pada awalnya prestasi motor ini memuaskan sehingga komponen 'elektronik CDI' rosak kerana tidak mengeluarkan api secukupnya.

Kemudian saya menukar kepada CDI diimport dari Thailand yang lebih murah, namun kuasa pecutannya terus hilang.

Mekanik menyarankan saya menukar ‘power valve' dan saya menukarkan dengan yang baru termasuk servo elektronik.

Bagaimanapun kuasa pecutannya tidak memuaskan. Adakah ini berpunca daripada komponen elektronik CDI?


Jawapan :

CDI bagi motosikal TZM mengawal bukaan dan penutupan power valve. Ia melaras bukaan pada sistem ekzos untuk disesuaikan dengan kuasa dan jumlah bukaan pendikit.

Semua sistem ini beroperasi secara menyeluruh dan perlu menepati julat diperlukan untuk menghasilkan kuasa pecutan sepatutnya, bagi memaksima prestasi enjin.

Ada kemungkinan CDI dipasang pada motosikal anda tidak menepati spesifikasi diperlukan dan memberi hasil negatif kepada prestasi enjin.

Anda boleh cuba meminjam CDI daripada rakan anda untuk dipasang kepada jentera dan membuat perbandingan untuk mendapatkan kepastian.

Bahagian enjin seperti peralatan elektronik dan CDI harus digantikan dengan yang tulen bagi mendapatkan hasil memuaskan. Sukar untuk memberikan pendapat tepat tanpa mengetahui secara terperinci peralatan ditukar, melainkan ia adalah alat ganti tulen. 





MOTOSIKAL MAKIN PERLAHAN
SELEPAS OVERHAUL 
 
Masalah Anda :

SAYA menggunakan motosikal Modenas Kriss (2000). Enjin motosikal saya pernah dibaik pulih sepenuhnya. Selepas 'overhaul' prestasinya semakin perlahan berbanding sebelumnya dan dalam gear empat bunyi enjin kuat kedengaran.

Bagaimanakah caranya untuk saya meningkatkan daya pecutannya?


Jawapan :

ENJIN seharusnya berupaya menghasilkan prestasi baik jika kerja baik pulih (overhaul) dijalankan mengikut spesifikasi tepat dan menggunakan alat ganti tulen.

Setiap jentera mempunyai tahap kelegaan iaitu julat sukatan, misalnya penggunaan piston standard boleh digantikan dengan piston lebih besar seperti 0.10 dan 0.50, tetapi masih mampu menghasilkan prestasi enjin memuaskan.

Sepatutnya ia menghasilkan kuasa lebih baik lagi cuma tahap penggunaan bahan api meningkat sedikit. Aspek penting ialah penggunaan alat ganti tulen kerana yang kurang berkualiti menyebabkan ketahanan enjin tidak menepati spesifikasi pengeluar motosikal.

Pastikan kerja baik pulih dilakukan mekanik berpengalaman dan dengan menggunakan alat ganti tulen, selain menepati spesifikasi kelegaan dikeluarkan pengeluar motosikal.

Semua skru perlu diketatkan mengikut tahap tekanan ditetapkan. Ini menjawab soalan bilakah masanya enjin perlu dibaik pulih.

Penggantian blok pula perlu dilakukan jika blok habis dipotong sehingga piston paling besar tidak dapat digunakan.

Blok perlu diganti atau dibaik pulih dengan menggunakan sleeve. Sebaiknya mengganti blok baru dan menggunakan piston standard semula namun kosnya tinggi.

Jika blok enjin masih boleh dipotong atau "re-bore", gunakan saja blok asal kerana ia lebih menjimatkan.

Potong blok ini dapat memulihkan prestasi enjin, tetapi jika dikaji sehalusnya enjin dengan konfigurasi asal atau standard ialah enjin yang masih belum dipotong blok mampu menghasilkan prestasi lebih baik.

Kenyataan ini memang boleh dipertikaikan namun ia pandangan keseluruhan dengan mengambil kira kadar penggunaan bahan api.

Mungkin ada yang merasakan enjin mereka lebih berprestasi selepas memotong blok dan ianya benar kerana enjin kini menggunakan piston lebih besar namun enjin standard lebih ringan operasinya serta mampu mencapai rpm memuaskan.

Klac yang haus atau rosak boleh menyebabkan enjin seperti mengaum dan tidak bertindak balas walaupun pendikit dipulas dan rpm enjin meningkat.

Kurang pasti pula apa yang dimaksudkan dengan motosikal anda terasa berat jika anda maksudkan enjin lambat naik rpmnya maka kemungkinan bukan masalah klac tetapi enjin itu sendiri.

Ada kemungkinan masalah memasukkan gear berpunca dari mangkuk klac rosak dan menyebabkan ia tidak terlepas sepenuhnya apabila tuil klac ditarik.

Ini menyebabkan penukaran gear menjadi sukar dan tidak tepat. Masalah ini mungkin berpunca dari kerosakan syaf penukar gear atau komponen kotak gear haus dan proses pembaikan memerlukan pembukaan kotak gear.

Rumah klac yang rosak perlu ditukar untuk mengelakkan dari terjadinya kerosakan lebih besar dan mungkin pecah serta menyebabkan enjin terhenti tunggangan. Ini boleh menyebabkan roda belakang terhenti dan berlaku pada kelajuan tinggi. 






ENJIN BERGEGAR KETIKA MEMECUT 
 
Masalah Anda :

SAYA menggunakan motosikal Yamaha Lagenda 110. Masalah dihadapi apabila memecut antara kelajuan 80 hingga 100km/j enjin bergegar kuat .

Jawapan :

SELALUNYA ketika enjin beroperasi gegaran berlaku, ia disebabkan tahap melahu (idle) enjin terlalu rendah. Bergantung kepada apa yang anda maksudkan dengan pelarasan penurunan timing yang mengakibatkan kurangnya gegaran mungkin membayangkan timing enjin anda terlalu lambat (retarded).

Ia juga menyebabkan pemasaan percikan api di palam pencucuh lambat dan tidak menepati tahap diperlukan. Ini menyebabkan operasi enjin tidak lancar.

Gegaran ini hilang apabila pendikit dipulas kerana rpm enjin meningkat. Timing perlu dibuat dengan tepat untuk memastikan enjin berada dalam keadaan optima.

Masalah gegaran perlu dikaji daripada pelbagai aspek, sama ada gegaran datangnya dari enjin atau roda motosikal.

Gegaran enjin lazimnya menjadi lebih ketara apabila kita melebihi sesuatu tahap rpm iaitu menjadi lebih teruk apabila melepasi tahap berkenaan.

Gegaran dari roda kadangkala seperti hilang apabila kita memandu laju, contohnya gegaran yang anda alami pada 80km/j hilang apabila melepasi 85km/j.

Gegaran roda ini boleh diatasi dengan melakukan imbangan tayar untuk memastikan masalah sebenar, sama ada ia dari tayar atau rim tayar bengkok.

Gegaran enjin pula membayangkan tahap kehausan komponen enjin yang melebihi tahap kelegaan dibenarkan dan mungkin enjin memerlukan baik pulih (overhaul).

Ini kerana enjin haus dan bergetar apabila beroperasi dan menyebabkan gegaran. Punca gegaran enjin ini boleh datang daripada kehausan pelbagai bahagian enjin, sama ada dari piston, gegalas utama dan mungkin dari bahagian klac. 






TAHAP BUNYI EKZOS TEPATI JPJ 
 


Masalah Anda :

APA perbezaan antara ekzos catalyzer dengan exzos tidak menggunakan catalyzer, bolehkah saudara terangkan.

Jawapan :

TAHAP bunyi dikeluarkan ekzos motosikal kegunaan jalan raya perlu menepati garis panduan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).

Ia perlu mematuhi syarat pembebasan gas karbon monoksida dihasilkan sewaktu pembakaran untuk melindungi alam sekitar dan faktor ini pula dikawal Jabatan Alam Sekitar dan tahap pengeluaran karbon monoksida ini dapat dikurangkan dengan penggunaan pemangkin digunakan motosikal terkini.

Catalyser ini menggunakan bahan logam yang dapat menukar gas karbon monoksida dibebaskan motosikal menjadi gas karbon dan oksigen ataupun menggabungkannya menjadi gas kurang beracun sebelum dibebaskan ke alam sekitar.

Untuk melakukannya, jarak perjalanan dilalui gas ekzos dari kebuk pembakaran dan melalui ekzos perlu dipanjangkan sedikit untuk membolehkan ia bertindak balas dengan logam dalam ekzo.

Walaupun secara teorinya kelambatan pengeluaran gas ekzos ini tidak menyebabkan kehilangan kuasa pada motosikal standard yang ditala untuk mendapatkan prestasi ekonomi.

Ia mungkin jadi penghalang mereka yang ingin memaksimakan kuasa motosikal dengan melawaskan perjalanan ekzos.  






BATERI CEPAT HILANG KUASA 
 
Masalah Anda :

SAYA menggunakan motosikal Yamaha Virago 535 yang berusia hampir 10 tahun. Sejak kebelakangan ini saya menghadapi masalah bateri hilang kuasa. Selepas perjalanan jauh dan apabila enjin dimatikan ia sukar untuk dihidupkan. Saya pernah menukarkan rectifier dan masalah berkenaan masih berlaku.

Masalah kedua, selepas lama bergerak satu jam 'idling' motosikal menjadi tidak menentu dan enjin hendak mati. Keadaan ini kerap berlaku ketika berhenti di lampu isyarat. Kadang kala ketika bergerak, ketika pendikit dibuka enjin seperti semput. Ia berlaku terutama ketika cuaca panas.

 Jawapan :

ADA kemungkinan bateri anda sudah berusia dan tidak mampu menampung caj elektrik. Bateri yang lemah dan sampai ke penghujung hayatnya mungkin tidak mampu memberikan keluaran kuasa mencukupi untuk memutar enjin dengan laju bagi menghidupkan enjin pada waktu pagi.

Jangka hayat bateri biasanya selama dua tahun saja. Air bateri kurang menyebabkan penurunan voltan. Jika bateri masih baru, mungkin sistem mengecas semula mempunyai masalah. Tahap mengecas yang baik bagi motosikal sistem 12V ialah antara 13.5 hingga 15.5V.

Periksa tahap mengecas anda menggunakan volt meter sewaktu enjin hidup.

Masalah enjin melahu tidak menentu bagi Virago selalunya dikaitkan dengan bahagian getah karburetor SU. Buka dan periksa kepingan getah bulat terpasang pada omboh karburetor. Jika getah itu sudah keras atau bocor, tukar dengan yang baru dan tala semula karburetor anda.  



 
MATI ENJIN KETIKA DIGUNA SETIAP 10 MINIT

Masalah Anda :

SAYA menggunakan Jaguh Modenas (2001) terpakai yang dibeli setahun lalu. Masalah saya ialah enjin Jaguh berkenaan sering mati ketika digunakan setiap 10 minit. Ianya hidup kembali setelah 'reset' atau 'On-0ff' kunci.

Saya menghabiskan banyak wang membeli dan menukar alat ganti untuk mengatasi masalah ini namun ia masih belum dapat diatasi.

Untuk pengetahuan tuan, saya sudah servis motosikal itu termasuk mencuci karburetor dan tukar minyak hitam.


Jawapan :

MELIHAT kepada peralatan yang ditukar, rasanya semua punca masalah sudah ditangani dan sepatutnya masalah itu dapat diselesaikan.

Kerosakan bahagian elektrikal memang sukar dikesan kerana tidak terdapat tanda kerosakan yang dapat dilihat dengan mata kasar.

Gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan enjin mati selalunya terjadi disebabkan kegagalan komponen yang menyimpan dan membekalkan bekalan elektrik secara terkawal dan ianya gagal apabila sudah panas.

Begitu juga dengan gegelung atau koil utama yang membekalkan elektrik kepada palam pencucuh.

Ia mungkin disebabkan sambungan wayar terhakis atau berkarat dan gagal apabila panas. Selalunya di bahagian suis atau wayar pematian enjin yang tidak baik sambungannya kepada pembumi atau "earth".

Hanya pengesanan caj elektrik menggunakan meter voltan atau volt meter membantu mengesan masalah ini.

Pengesanan masalah memerlukan gambaran sebenar bagaimana enjin mati secara terperinci, sama ada sewaktu enjin panas atau ia semput sebelum mati atau terus mati tanpa amaran.

Tidak menghairankan jika masalah ini berpunca hanya kerana perkara kecil saja seperti sambungan wayar yang tidak rapat.

Elakkan mengeluarkan belanja besar dengan meminta pandangan kedua dari tempat lain. Jika satu kedai itu tidak dapat menyelesaikan masalah anda kerana kadangkala penukaran atau pembukaan lebih banyak komponen menambah masalah dihadapi kerana terlalu banyak komponen diusik.




PROSES 'RUNNING - IN' PENTING

Masalah Anda :

SAYA menggunakan motosikal berjenama Yamaha 135LC. Meter motosikal saya sudah menunjukkan bacaan 1,056 km. Berapakah jarak yang diperlukan untuk saya menukar minyak enjin.

Jawapan :

BAGI motosikal baru dibeli harus ditekankan proses ‘running-in’ atau penyesuaian enjin amat penting dalam penentuan jangka hayat enjin secara keseluruhan.

Ini disebabkan enjin baru perlu menyesuaikan permukaan semua komponen logam yang bergesel sesama sendiri terutama piston, gegelang piston dan blok enjin.

Proses kematangan logam penting dan ini hanya dapat dicapai dengan haba sewaktu enjin beroperasi. Permukaan logam baru kasar jika diperhatikan di bawah mikroskop dan tahap kehausan tinggi pada peringkat permulaan.

Sebab itu digalakkan menukar minyak pelincir bagi enjin baru selepas 1,000km untuk membuang zarah halus logam sewaktu proses berkenaan.

Pada masa sama, enjin baru yang masih kasar permukaannya ini jika dilenjan di peringkat awal menyebabkan kehausan melampau melebihi tahap biasa. Dalam jangka masa panjang hayat enjin di pendekkan.






CARA JAGA HONDA WAVE 125 
Masalah Anda :

SAYA baru membeli Honda Wave 125. Bagaimanakah cara menjaga motosikal ini termasuk aspek minyak pelincir, bateri dan minyak brek.

Jawapan :

HONDA Wave 125 menggunakan piston bersalut molibdenum bagi meningkatkan tahap kelancarannya, dan penggunaan bahan ini meningkatkan hayat penukaran minyak pelincir daripada 5,000km kepada 6,000km.

Penggunaan molibdenum meningkatkan daya ketahanan enjin daripada segi mengurangkan geseran pada dinding piston dan menyumbang kepada kelancaran serta mempertingkatkan daya ketahanan.

Tahap pelinciran diperlukan daripada minyak pelincir menurun. Minyak pelincir bagi Honda Wave 125 boleh dipakai lebih lama.

Penukaran minyak pelincir apabila sampai tempoh untuk memastikan tahap perlindungan yang diberikan minyak pelincir berada dalam tahap boleh diterima pakai bagi mengelakkan kerosakan enjin.

Minyak pelincir hilang daya pelinciran sedikit demi sedikit apabila digunakan kerana didedahkan pada haba enjin dan oksida minyak itu sendiri.

Haba mengubah struktur molekul minyak pelincir menyebabkan kehilangan daya pelinciran. Selain itu, minyak menjadi kotor kerana ia bercampur dengan bahan logam yang haus apabila enjin beroperasi.

Zarah logam terhaus ini tidak kelihatan dengan mata kasar, namun ia wujud dan ditakung dalam takungan minyak.

Oleh itu, ia wajar ditukar dengan minyak baru sementara daya pelinciran masih berada dalam tahap boleh diterima kerana minyak pelincir mengandungi bahan pembersih untuk mencuci enjin.

Minyak pelincir menyumbang kepada penyejukan enjin dan daya penyejukan ini menurun melalui masa. Minyak lama menyebabkan enjin beroperasi lebih panas daripada biasa dan mengakibatkan kehausan melampau.

Selain minyak, pastikan semua peralatan boleh-servis (serviceable parts) seperti penapis minyak, penapis udara dan palam pencucuh ditukar menepati julat kilometer (km) yang dicadangkan pengeluar motosikal.

Ini dapat menjamin ketahanan enjin dan operasi enjin yang baik. Penggunaan minyak Shell VSX separa sintetik amat digalakkan kerana ia memberikan perlindungan lebih baik.

Tukar mengikut jadual iaitu setiap 6,000 km dan ia memberikan hasil diharapkan kerana Shell VSX memberikan perlindungan maksimum dalam keadaan memerlukan.

Rugi jika kita cuba berjimat dengan penukaran minyak pelincir kerana ia bahan perlindungan dalam enjin anda bagi mengelakkan kehausan melampau.

Ikuti manual penjagaan yang diberikan pengeluar motosikal. Jadual penukaran minyak pelincir dan servis perlu diikuti secara tepat bagi memastikan tahap perlindungan enjin maksimum.

Gunakan minyak pelincir yang terbukti keberkesanannya seperti minyak pelincir Shell yang dicipta khas untuk motosikal. Pastikan motosikal sentiasa dibersihkan dan seperti yang pernah diperkatakan di sini, basuh sendiri motosikal anda dan teliti setiap bahagian motosikal sambil memeriksa setiap komponen motosikal untuk mengenal pasti kerosakan kecil yang mungkin dialami.

Tukar bahagian yang rosak sebelum ia merebak dan menyebabkan kerosakan lebih teruk dan menjejaskan prestasi motosikal anda.

Berikan lebih tumpuan bahagian motosikal yang membabitkan keselamatan tunggangan seperti brek, tayar dan pengendalian. Dapatkan nasihat rakan lebih berpengalaman dan pelajari cara mengenal pasti tahap kehausan.

Sebagai contoh, tayar mempunyai penanda tahap kehausan sebagai panduan bila ia perlu ditukar.

Pelapik brek juga mempunyai penanda kehausan yang memberitahu kita bila ia perlu diganti. Bateri pula perlu diperiksa.





HIDUPKAN SKUTER GUNA TENDANG
AMALAN BAIK 
 
Masalah Anda :

SAYA menggunakan skuter Suzuki VS150. Saya ingin memastikan adakah benar setiap pagi perlu menggunakan penendang berbanding penghidup elektrik untuk menjaga jangka hayat bateri?

Jawapan :

AMALAN menggunakan penghidup tendang untuk menghidupkan skuter anda pada waktu pagi bukanlah kemestian.

Skuter dijaga baik mudah hidup dengan menggunakan penghidup elektrik dan enjin mampu mengecas bateri kembali dalam jangka waktu singkat selepas enjin dihidupkan.

Ini kerana sistem elektrik motosikal anda mampu mengekalkan cas elektrik dalam bateri. Walaupun begitu, amalan menghidupkan skuter dengan penghidup tendang satu amalan baik.

Di pagi hari, enjin lazimnya sejuk selepas direhatkan semalaman dan cas bateri lazimnya menurun sedikit.

Bebanan pada bateri meningkat pada waktu pagi dan lazimnya kita harus memberi bantuan untuk penghidupan enjin dengan menggunakan pencekik (choke).

Ini untuk membantu enjin hidup dengan secepat mungkin supaya bateri dapat dicas semula. Tetapi apa yang lebih penting ialah amalan ini dapat memanjangkan hayat enjin dan bukannya semata-mata kerana bateri.

Enjin yang direhatkan lazimnya menyebabkan penurunan minyak pelincir dari bahagian atas enjin ke dalam takungan minyak yang berada di bawah.

Malahan, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebahagian besar faktor kehausan enjin berlaku apabila ia dihidupkan awal pagi kerana kurangnya perlindungan minyak pelincir.

Ini dapat kita minimakan dengan menggunakan penghidup tendang secara berhemah iaitu dengan memutarkan enjin dengan kadar perlahan dahulu pada awal pagi bagi membantu sistem pelinciran untuk menyampaikan minyak pelincir ke semua bahagian enjin sebelum menghidupkannya secara normal sama ada menggunakan penghidup tendang mahupun penghidup elektrik.

Lazimnya bateri berkualiti tahan selama tiga tahun sebelum perlu ditukar. Pastikan aras elektrolit sentiasa berada di tahap optima untuk memastikan ketahanan bateri anda.

Ada juga bateri kini yang digelar bateri tanpa penjagaan yang tidak lagi perlu diperiksa tahap elektrolitnya.

Namun, ia agak mahal berbanding bateri basah biasa. Motor penghidup yang bergerak perlahan mungkin disebabkan keadaan bateri kurang baik dan lemah yang mungkin berpunca dari keadaan bateri itu sendiri ataupun pengecas kurang baik menyebabkan bateri tidak cukup dicas.

Ini mungkin disebabkan keadaan karbon motor penghidup kurang baik. Kadangkala masalah yang dihadapi dengan jentera kita hanyalah disebabkan perkara kecil saja yang mampu dikesan mekanik berpengalaman.











SEMPUT GUNA EKZOS BARU



Masalah Anda :

BARU-BARU ini saya menukar sistem ekzos motosikal kepada ekzos untuk perlumbaan. Saya menghadapi masalah selepas itu apabila motosikal saya tidak lancar, sering semput dan tidak lawas.

Saya menukar dan mencuba beberapa jet pilot dan jet minyak tapi masih mempunyai masalah sama. Saya menggunakan blok asal yang belum diubahsuai. Sproket 38 belakang dan 14 depan.

Kini saya menggunakan jet pilot yang mempunyai cc 130 dan jet minyak cc 140. Masalah yang sama masih timbul.

Adakah perkara ini disebabkan jet terbabit atau ada pengubahsuaian lain yang perlu saya lakukan? Adakah lebih baik jika saya menggunakan karburetor RXZ atau TZM?

Untuk pengetahuan tuan, saya baru berjinak-jinak untuk menceburi sukan pecut motosikal yang sering dianjurkan di tempat saya. Tetapi, saya terpaksa melakukan pengubahsuaian sendiri memandangkan saya belum mempunyai penaja.

Jawapan :

TAHNIAH kerana menceburi sukan bermotor. Sebenarnya boleh dikatakan hampir semua juara sukan bermotor bermula seperti anda dengan menceburi penyertaan secara persendirian dulu sebelum mendapat penaja.

Pengubahsuaian enjin untuk perlumbaan sebenarnya memerlukan keserasian yang menyeluruh dan tidak dikhususkan kepada satu satu bahagian komponen saja.

Ekzos lumba adalah agak lawas dan sesuai digunakan bagi rpm tinggi. Tidak pula saudara jelaskan jenis motosikal yang dipakai, tetapi berdasarkan cadangan penggunaan karburetor RXZ dan TZM, mungkin saudara menggunakan jentera dua lejang.

Penukaran lelidah injap (reed-valve) yang lebih baik seperti Boyesen mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah anda. Perlu difahami, bagi satu komponen lumba seperti ekzos anda, ia sudah dibina untuk memberi prestasi yang baik bagi nisbah mampatan ataupun rpm tertentu serta kadar kemasukan bahan api mencukupi.

Mungkin juga masalah anda berada pada kotak udara yang kurang sesuai. Cuba timba lebih pengalaman daripada rakan atau mekanik kenalan anda. Tidak salah mencuba sendiri, malahan ia akan memberikan anda pengalaman yang memuaskan.

Cuma kadangkala ia mengambil masa yang agak panjang untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.



PALAM PENCUCUH CEPAT HITAM

Masalah Anda :

SAYA menggunakan motosikal Yamaha Virago 535 setiap hari ke tempat kerja. Masalah dihadapi saya terpaksa menukar palam pencucuh motosikal seminggu sekali disebabkan ia cepat hitam atau terbakar.

Saya sudah mencuba pelbagai jenis palam pencucuh, dari NGK BP6ES hingga BP9ES. Tetapi hasilnya sama saja. Motosikal saya semput selepas seminggu menukar palam pencucuhdan. Apa masalah sebenarnya?

Jawapan :

PALAM pencucuh yang hitam membayangkan campuran bahan api motosikal anda terlalu mewah. Secara lazimnya ia adalah kerana penalaan karburetor anda kurang tepat dan tidak harus dilupakan bahawa ia boleh disebabkan penapis udara tersumbat.

Ia menyebabkan kurang udara memasuki karburetor dan menyebabkan lebih bahan api yang masuk sewaktu proses campuran bahan api.

Ia seumpama menunggang motosikal dengan pencekik atau "choke" ditarik sedikit. Palam pencucuh biasanya mampu memberikan gambaran perjalanan enjin dan warna kehitaman jelas menunjukkan ada yang tidak kena.

Untuk Virago yang menggunakan karburetor SU harus diperiksa diafram sama ada masih berkeadaan elok atau sudah bocor.

Ini kerana memberi kesan kepada kelancaran karburetor yang memberi kesan kepada hasil campuran bahan api oleh karburetor. Tukar nombor palam pencucuh hanya jika ia terlalu panas (warna keputihan) atau sejuk (palam pencucuh basah). Palam pencucuh yang hitam tidak boleh diselesaikan dengan penukaran julat haba. 




INGIN TUKAR KARBURETOR

Masalah Anda :

SAYA ingin mengetahui sama ada boleh atau tidak karburetor Modenas Kriss atau Yamaha Lagenda dipasang ke enjin Honda EX5? Adakah ia mengubah prestasi kelajuan EX5 itu atau sebaliknya. Bagaimana kalau dipasang dengan kaburetor Yamaha LC135.

Jawapan :

PENGUBAHSUAIAN karburetor memerlukan pengubahsuaian komponen berkaitan seperti manifold dan jetting. Fungsi karburetor untuk mencampurkan bahan api dengan udara pada tahap yang sesuai dan saiz titisan bahan api optimum.

Walaupun begitu, bentuk dan saiz lorong kemasukan memainkan peranan. Bentuk atau saiz yang kurang sesuai mungkin menyebabkan fungsi campuran menjadi tidak optimum serta menghasilkan titisan campuran bahan api menjadi besar dan sukar dibakar.

Pembesaran lorong intake sepatutnya tidak menyebabkan kesan negatif jika ia dilakukan secara sekata. Seandainya bentuk intake diubah, ia memberi kesan kepada corak campuran bahan api dan mungkin menyebabkan pusaran.

Ini menghasilkan saiz atom yang menyebabkan palam pencucuh menjadi basah. Panjang penyambung karburetor ke blok enjin memberi kesan kepada bentuk campuran bahan api yang masuk dan jika kita longgarkan pengikatnya dan mengubah karburetor supaya menjadi lebih dekat ataupun lebih jauh dari blok enjin, kita akan dapat mendengar perbezaan pada kelajuan enjin.

Penggunaan karburetor lebih besar menambah kadar kemasukan bahan api ke dalam kebuk pembakaran, tetapi mungkin menjadi terlalu basah dan menyebabkan enjin mudah mati.

Pengubahsuaian sendiri memerlukan banyak percubaan dan ujian sama ada ujian statik mahupun ujian jalanan untuk mendapatkan penalaan yang sesuai.

Jalankan ujian selepas menukar karburetor untuk memastikan ia tidak semput atau menyebabkan enjin mati.




CARA JAGA SKUTER

Masalah Anda :

SAYA menggunakan skuter Yamaha Nouvo S. Bagaimanakah cara penjagaan skuter ini supaya tahan lebih lama?

Jawapan :

PENJAGAAN skuter atau mana-mana jenis motosikal tidaklah begitu sukar. Selain mengikuti jadual penjagaan dicadangkan pengeluar skuter dengan menggunakan pelincir dan alat ganti berkualiti.

Paling penting ialah sentuhan peribadi. Selalulah memeriksa skuter dan luangkan masa meneliti setiap bahagian skuter.

Perbaiki kerosakan dan ketatkan skru longgar, jangan biarkan perkara kecil membesar dan mendatangkan masalah.

Periksa tali sawat dan cuci habuk atau pasir untuk mengelakkan kehausan terlampau. Sentiasa bersihkan skuter dan letakkan ia di tempat teduh.

Kekotoran adalah punca utama kerosakan enjin dan menjemur di bawah mata hari terik yang mempunyai sinar lampau-ungu (UV) boleh memendekkan hayat bahan plastik dan pendawaian.

Servis dalam erti kata sebenar mencakupi pemeriksaan dan cucian elemen penapis udara dan setiap 10,000km disyorkan cuci karburetor untuk membuang air terkumpul jika ada akibat wap petrol dan membuang habuk yang ada.

Penggantian palam pencucuh disyorkan pada waktu ini. Pasangkan penapis bahan api jika belum ada.

Selain itu, lakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap jentera anda seperti tahap kehausan pelapik brek dan sistem elektrikal seperti lampu brek serta lampu isyarat.

Sayangi jentera anda, sedar atau tidak ia mungkin harta termahal anda. 






PETUA PECUT MOTOSIKAL

Masalah Anda :

BOLEHKAH terangkan tunggangan yang baik untuk mendapatkan kelajuan sebenar motosikal Yamaha RXZ 135 Catalyzer.

Ini kerana apabila rakan saya menunggang motosikal saya ia berjaya mendapat kelajuan maksimum 220 km/j tetapi hairannya apabila saya menunggang hanya 140 km/j saja.

Jawapan :

KELAJUAN tinggi membahayakan dan harus dikendalikan dengan berhati-hati berpandukan pengalaman dan hanya masa serta latihan dapat memberikan pengalaman mencukupi.

Seseorang penunggang yang menunggang motosikalnya setiap hari selama dua tahun mungkin mendapat pengalaman secukupnya bagi membolehkan ia bertindak secara automatik dalam keadaan kecemasan tanpa perlu berfikir panjang.

Kelajuan meter sebenarnya bukanlah panduan mutakhir kelajuan motosikal. Ini kerana paparan meter kadangkalanya kelihatan tinggi kerana meter rosak atau ringan.

Penentu ukur sebenar hanya dapat dicapai menggunakan peralatan laser, transponder atau GPS untuk mendapatkan kelajuan sebenar motosikal yang tepat.

Lazimnya, yang membezakan penunggang ialah cara tunggangan, ketepatan penukaran gear, pemulasan pendikit tepat pada masanya, pengambilan garisan selekoh dan paling penting mampu merasa tindak balas motosikal untuk memaksimumkan kemampuan motosikal.

Pemulasan pendikit yang sedikit lambat menyebabkan kita mungkin tertinggal. Begitu juga dengan penukaran gear terlalu cepat atau lambat.

Kaji dengan teliti kemampuan motosikal dan dapatkan deruman berpandukan telinga tanpa melihat meter untuk menentukan tahap kuasa rpm untuk memberikan daya pecutan maksima bagi setiap gear kerana tiap nisbahnya adalah berlainan tahap pecutan maksimanya.

Melihat meter rpm mungkin membazirkan masa walaupun kita hanya menjeling tidak sampai sesaat. Pengambilan selekoh yang baik dan memecut keluar dari selekoh tepat pada waktunya dapat meningkatkan pecutan jentera.

Penggunaan brek yang berdikit (late braking) mampu menyimpan daya lajak motosikal kita tanpa perlu tambahan kuasa enjin dengan menurunkan gear. Kesemua ini agak teknikal sebenarnya dan kelas penunggang sendiri tidak mampu meningkatkan kemampuan pengendalian motosikal tanpa latihan mencukupi.

Pastikan anda sentiasa memakai peralatan keselamatan untuk melindungi diri anda pada setiap masa, walaupun pada kelajuan yang biasa. 





MOTOSIKAL BANYAK ASAP

Masalah Anda :

SAYA memiliki motosikal Yamaha SS2. Motosikal saya terlalu banyak mengeluarkan asap berpunca daripada penggunaan minyak 2T. Saya sudah banyak kali membawa motosikal ke bengkel, tetapi masalah tetap tidak berubah.

Jawapan :

PELARASAN kadar kemasukan minyak 2T memang boleh dilakukan tetapi tidak menampakkan hasil serta-merta jika 2T sebelum ini berlebihan. Ini kerana ada kemungkinan terlalu banyak minyak 2T yang terkumpul dalam ekzos.

Apa yang anda boleh lakukan untuk mengelak asap berlebihan ialah membuka ekzos dan membasuh bahagian dalamnya dengan minyak tanah bagi membuang minyak yang terkumpul sekian lama di dalamnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...